Wednesday, January 27, 2010

Mendamba KasihMu Illahi

"Illahi, kasihanilah hambaMu yang lemah ini. Engkau Maha Tahu atas apa yang menimpa diriku. Aku tak ingin kehilangan cintaMu. Namun Engkau juga tahu, hatiku ini tidak mampu mengusir pesona kecantikan seorang makhluk yang Engkau ciptakan. Saat ini hamba sangat lemah berhadapan dengan daya tarikan wajah dan suaranya, ya Illahi, berikanlah padaku cawan kesejukan untuk meletakkan embun-embun cinta yang menitis-nitis dalam dinding hatiku ini. Illahi, tuntunlah langkahku pada garis takdir yang paling Enkau redhai. Aku serahkan hidup dan matiku untukMu."

"Ya Allah, semakin aku mendamba cintaMu semakin kuat ujian yang Engkau berikan padaku. Kadang-kadang aku tidak mampu untuk mengharungi ujian yang berikan padaku. Aku dapat merasakan diriku sangat lemah untuk menghadapi ujianMu yang besar, kerana aku tau, aku adalah insan yang lemah dan perlukan banyak ilmu dan iman untuk mengharunginya. Namun, aku akan cuba untuk melalui setiap ujian yang Engkau berikan padaku dengan kekuatan iman dan kecekalan hati semata-mata mengejar redhaMu dan cinta dariMu ya Illahi. Semoga Engkau kurniakn aku kekuatan iman dan ketabahan hati dalam menempuh hidup di duniaMu yang fana' ini Ya Rabbi."

Wednesday, January 20, 2010

Pesanan Untuk Wanita Islam



Sesungguhnya kejadianmu terlalu indah tercipta daripada tulang rusuk Adam yang bengkok untuk dilindungi dan disayangi, bukannya diciptakan daripada kepala untuk disanjung dan dipuja, bukan pula diciptakan daripada kaki untuk dipijak dan dijadikan hamba sahaya. Lantaran daripada keindahan ciptaanmu itu, kau umpama sekuntum bunga yang mana harum aromamu bisa menarik perhatian sang kumbang untuk mendekatimu. Adakah semudah itu kau ingin menyerah diri pada sang kumbang?

Renunglah pada keindahan bunga mawar yang unggul terjaga berpagarkan duri sebagai bentengnya. Dari kejauhan keharumannya mencuri perhatian. Kilauan warnanya yang memancar indah menjadi tarikan. Namun, lantaran pagaran duri yang berbisa itu, sang kumbang tertunduk kagum terhadap keindahan yang terjaga hinggakan ia berfikir beberapa kali sebelum mendekatinya.

Wanita,

Akuilah hakikat kejadian dirimu yang menjadi pelemah keimanan lelaki. Seandainya pakaian malu kau tinggalkan daripada tubuhmu dan perbatasan aurat kau pandang sebarangan, jadilah dirimu hanya sekuntum bunga yang indah tapi sayang tidak berduri. Kau tidak layak lagi dimahkotakan sebagai si mawar berduri. Sesungguhnya Utusan Allah ada mengatakan tentang bahaya dirimu.
'Tidak ada fitnah yang lebih besar setelah wafatku selain daripada fitnah yang berpunca daripada wanita'. Adakah kau mahu menjadi penyebab terhadap terhumbannya lelaki ke neraka?

Ingatlah wahai wanita islam,

Ingatlah bahawa ciri-ciri seorang wanita solehah ialah dia tidak melihat lelaki dan lelaki tidak melihat kepadanya kecuali atas urusan yang diizinkan.
Sesuatu yang tertutup itu lebih indah dan berharga jika dibandingkan dengan sesuatu yang terdedah. Yang tertutup itu indah! Alangkah baiknya jika kau memelihara keindahan dirimu sebagai hadiah yang kudus, suci, mahal, dan berharga buat kumbang terpilih yang telah dijanjikan Allah buatmu.

Indahnya hidup ini andai melayarinya dengan bernaungkan keredhaan Allah, bertunjang ilmu dan kebenaran, bersulam akhlak penuh menawan. Sesungguhnya, wanita solehah menjadi idaman setiap insan soleh bernama Adam.
'Wanita yang baik itu adalah untuk lelaki yang baik.....'


Monday, January 18, 2010

Penghijrahan Kerana Allah s.w.t

Berhijrah adalah satu amalan yang sangat mulia. Malah antara amalan yang berada dalam ranking paling atas dalam senarai amalan-amalan soleh. Allah s.w.t sendiri menjadikan hijrah sebagai salah satu kriteria seorang yang benar-benar beriman. Dalam al-Quran, amalan hijrah disebut seiring dengan amalan jihad fi sabilillah (berjuang di jalan Allah). Antaranya, firman Allah s.w.t, mafhumnya:

"Dan orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah (untuk membela Islam), dan orang (Ansar) yang memberi tempat kediaman dan pertolongan (kepada orang Islam yang berhijrah itu), merekalah orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka beroleh keampunan dan limpah kurnia yang mulia." (Surah al-Anfal 8:74)